Mat rempit berlumba, lakukan aksi bahaya ditahan

Tindakan tiga remaja yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya mengundang padah apabila mereka ditahan di Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas) berhampiran Senawang, awal pagi tadi.

Aktiviti berlumba sesama sendiri remaja berusia 17 hingga 19 tahun itu dikesan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman ketika menjalankan Op Samseng Jalanan pada 1 pagi.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tiga remaja berkenaan dikesan melakukan aksi itu ketika pasukan tangkapan membuat pemantauan pada 1.40 pagi.

“Tiga motosikal yang ditunggang remaja berkenaan melakukan aksi bersaing sesama sendiri, aksi zig-zag dan aksi menundukkan badan bermula dari Plaza Tol Ampangan hingga susur keluar Seremban yang mana aksi tunggangan amat bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Pada 1.55 pagi, tiga remaja berkenaan memberhentikan motosikal di hadapan sebuah restoran di Senawang sebelum tangkapan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzri berkata, remaja berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

“Motosikal yang ditunggang individu terbabit turut dibawa ke IPD Seremban bagi tujuan pemeriksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HM