Maszlee Tinggalkan Mahathir dan Pejuang

Ahli parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik hari ini mengumumkan menarik diri daripada jawatankuasa penaja parti Pejuang.

Maszlee mengumumkan perkara itu bagi merungkai persoalan berhubung ketiadaan namanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan parti itu semalam.

“Saya Maszlee Malik, ahli parlimen Simpang Renggam dengan ini mengumumkan penarikan diri sebagai ahli jawatankuasa penaja penubuhan parti Pejuang.

“Saya juga akan meneruskan tugas dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai ahli parlimen bebas dan melalui ruang-ruang aktivis dan kerja-kerja kebangsaan melalui rangkaian NGO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kenyataan media yang dikeluarkan Pejuang menimbulkan tanda tanya apabila nama Maszlee tidak tersenarai bersama ahli parlimen parti itu yang lain.

Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran satu dokumen sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar (bawah) sebagai perdana menteri tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.

SD berkenaan tersebar dan dilaporkan media pada 17 Okt lalu. Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas dari Maszlee berhubung perkara itu setakat ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata keputusan dibuatnya ini adalah berdasarkan kepada dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terhadap kehendak rakyat.

“Keputusan dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan rakyat terbanyak.

“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini