Mas Khan perjelas isu bela anjing dan tatu – “kita bukan tak tahu halal haram”
Baru-baru ini, pelakon Mas Khan menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen apabila dilihat membela seekor anjing baka German Shepherd yang bernama Cash.
Menerusi sebuah posting di laman Instagram, pelakon berusia 28 tahun itu bagaimanapun menjelaskan ia bukan untuk dijadikan haiwan peliharaan sebaliknya lebih kepada untuk melindungi persekitaran.
“Meet my pak guard for MetaTrade Academy (bisnes diusahakan). He’s still a puppy okay.. bayangkan kalau dia dah masuk setahun and bulu dia baru lepas potong sebab terlalu panjang.
“Kesian dia panas Malaysia tak sesuai simpan bulu macam tu. German Shepherd ni lebih dikenali sebagai anjing polis K9! So don’t play play,” tulisnya yang mengusahakan bisnes chalet.
Difahamkan, dia juga mempunyai akademi dipercayai bagi berkongsi ilmu mengenai pelaburan dan perdagangan sekali gus memerlukan kawalan dan jagaan keselamatan daripada haiwan berkenaan.
Pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu berkata, dia tidak kisah sekiranya dikecam berhubung perkara tersebut selain turut menjelaskan tentang lukisan seolah-olah tatu pada bahagian tangan dan lehernya.
“Jangan risau kita tahu, anjing ni kalau basah kita tak pegang. Kita ada sabun samak, sertu samak. Setiap kali kita pegang dalam keadaan kering atau basah, kita akan guna sabun samak.
“Jadi tiada isu, korang nak kecam.. kecamlah. Saya jadi diri sendiri. Dan ini bukan tatu, cuma lukisan. Jadi apa korang nak cakap, korang cakap,” katanya.
Pada masa sama, Mas Khan atau nama penuhnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan memohon maaf jika tindakannya membela anjing itu menyinggung perasaan terutama umat Islam.
“Aku minta maaf, kalau ada yang menyinggung hati dan perasaan korang sebab main dengan anjing. Tapi paling penting ini pendapat saya, kita bukan tak tahu apa halal apa haram.
“Yang penting niat kita.. niat saya bela Cash ni sebab dia menjaga kawasan ni yang berada di tengah Kuala Lumpur. Apa-apa boleh terjadi,” ujarnya.
Sumber: Instagram Mas Khan