Maragang muncul semula setelah Gunung Kinabalu ditutup untuk aktiviti pendakian

Penutupan Gunung Kinabalu kepada aktiviti pendakian susulan pandemik Covid-19 nampaknya memberi lebih ruang kepada alam semula jadi untuk menyerlah.

Pegawai Taman-Taman Sabah Nasrulhakim Maidin berkata, kemunculan lotong merah berhampiran sebuah rumah rehat di gunung tersebut adalah contoh bagaimana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kurangnya kehadiran manusia membawa manfaat kepada alam sekitar.

“Pada dasarnya, ini adalah kesempatan bagi alam untuk pulih atau ‘berehat’ daripada (aktiviti) pelancongan dan eksploitasi manusia,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa memang jarang bagi makhluk “pemalu” seperti lotong merah mendekati rumah rehat itu.

Nasrulhakim berkata, lotong, yang dipanggil “maragang” atau “makhluk merah” oleh masyarakat Kadazandusun tempatan kerana warna bulunya, pernah muncul sebelum ini di sekitar Laban Rata, tetapi tidak pernah begitu dekat dengan rumah rehat.

Katanya, suhu yang lebih panas yang dikaitkan dengan perubahan iklim tidak mungkin menjadi sebab penampilannya baru-baru ini.

Gambar lotong merah atau ‘maragang’ dalam bahasa Kadazandusun diambil oleh pengurus perkhidmatan Sutera Sanctuary Lodges Freddie Jude Julani baru-baru ini.

Lotong berkenaan dirakam dalam foto berhampiran rumah rehat itu oleh pengurus perkhidmatan Sutera Sanctuary Lodges Freddie Jude Julani baru-baru ini.

Pakar hidupan liar tertanya-tanya apakah kehadiran makhluk tersebut merupakan petanda kepada peningkatan suhu kesan perubahan iklim.

Ini kerana, lotong tersebut biasanya dijumpai di hutan pada ketinggian hingga 2,000m.

Kegiatan pendakian di Gunung Kinabalu dihentikan pada 9 Okt tahun lalu dan bersambung kembali pada 7 Dis.

Namun, pelaksanaan PKP selama dua minggu bermula 13 Jan lepas yang melibatkan larangan rentas daerah turut mengehadkan aktiviti pendakian di gunung itu sekali lagi. – FMT