Malaysia berjaya sapu bersih pingat emas dalam acara terjun

Malaysia berjaya sapu bersih pingat emas dalam acara terjun

 

Pasangan penerjun wanita negara, Dato’ Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menepati ramalan apabila berjaya merangkul pingat emas dalam final acara 10 meter (m) platform seirama wanita Sukan SEA ke-31.

Duo itu cemerlang dengan catatan 292.14 mata dalam pertandingan yang berlangsung di Aquatics Sports Palace, Hanoi sebentar tadi.

Kemenangan tersebut bermakna bahawa Malaysia berjaya menyapu bersih kesemua pingat emas dalam acara terjun yang dipertandingkan dalam Sukan SEA pada kali ini.

Menerusi lima terjunan yang cemerlang, mereka berjaya mengutip emas kesembilan Malaysia.

Sementara itu, pasangan kembar dari Singapura, Ong Sze En dan Ong Rei En membawa pulang pingat perak dengan 225.42 mata, lapor Bernama.

Terdahulu, Nur Dhabitah menjadi pemenang emas sulung negara menerusi acara 1 meter papan anjal pada Ahad lalu.

Rekod cemerlang itu seterusnya diikuti oleh Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim yang merangkul tempat pertama dan kedua dalam acara 3 meter papan anjal lelaki.