“Mak paksa aku bagi dia RM300 setiap bulan sampai sesak aku dibuatnya, bila aku dipecat mak bagi aku kad bank, rupanya ini yang mak buat dengan duit tu”

“Mak paksa aku bagi dia RM300 setiap bulan sampai sesak aku dibuatnya, bila aku dipecat mak bagi aku kad bank, rupanya ini yang mak buat dengan duit tu”

 

“Mak aku setiap bulan akan paksa aku bagi RM300 pada dia. Aku kadang-kadang sampai ‘sesak’ setiap bulan. Tapi nak atau tidak, memang akan bagi juga pada mak,” katanya.

Bukan itu sahaja, keperluan rumah turut dibelikan sehingga kadang kala dia tidak mempunyai baki yang mencukupi untuk perbelanjaan peribadi.

“Barang rumah pun aku beli,” luahnya di laman X.

Baru bekerja selama dua tahun, dia bagaimanapun berhadapan dengan situasi yang tidak disangka-sangka apabila terpaksa berhenti kerja, baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak mempunyai sumber pendapatan dan sukar mencari pekerjaan lain.

Namun, sesuatu di luar jangkaan berlaku apabila ibunya yang selama ini sering meminta wang setiap bulan membenarkannya untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun bank wanita itu.

“Hari tu aku kena berhenti kerja, mak aku bagi kad bank. Rupanya mak aku minta RM300 tu untuk buat tabung aku.

“Dalam kad (bank) tu ada RM7,800,” katanya lagi.

Menurutnya, wang simpanan ibunya sedikit-sebanyak dapat membantunya dalam urusan harian sementara mendapatkan pekerjaan baharu.

Menerusi luahan yang dikongsikan seorang pelayar X itu, tiada siapa dapat menyangka rupa-rupanya wang simpanan ibu untuk rancangan kewangan terutama ketika kecemasan.

“Mak adalah perancang kewangan yang sebenar,” katanya ringkas menerusi satu ciapan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warga maya dengan kebanyakannya menyatakan tidak semua ibu bapa berperangai toksik dan hanya bergantung sepenuhnya pada anak-anak.

Warga maya turut berkongsi pengalaman masing-masing.

Mana tidaknya, sejak kebelakangan ini media sosial dipenuhi dengan luahan anak muda yang terpaksa memberikan sejumlah wang kepada ibu bapa mereka meskipun terbeban dengan kos sara hidup sendiri.

“Banyak pula kisah anak-anak bekerja dan berhadapan dengan ibu bapa yang memeras duit sampai mereka tak cukup setiap bulan hingga tiada simpanan. Bukan semua ibu bapa adalah ‘toksik’.

“Ada mak ayah yang tak mahupun duit anak-anak, tapi ambil sebab nak biar duit gaji anak-anak berkat.

“Mungkin dia boros, sebab itu mak dia buat ‘simpanan paksaan’ macam tu.

“Sama macam ibu saya, setiap bulan minta RM1,000 untuk simpan. Alhamdulillah, duit tu saya dapat guna untuk kahwin tahun lepas,” ujar beberapa warga maya.