Lori rempuh 11 kereta

Lori rempuh 11 kereta

 

Sebanyak 11 buah kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat dilanggar oleh sebuah lori 10 tan yang membawa muatan kertas gulung seberat lebih kurang lapan tan dalam kejadian di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Nilai dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, lori berkenaan telah dipandh oleh seorang lelaki berumur 26 tahun yang dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Beranang, Selangor.

“Pada pukul lebih kurang 5.50 petang telah berlaku satu kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar melibatkan sebuah lori melanggar 11 buah kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu mengalami masalah brek menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar deretan kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan kemalangan itu, seorang lelaki yang merupakan pemandu salah sebuah kereta mengalami kecederaan ringan iaitu luka di kepala.

“Bagaimanapun, pemandu lori dan pemandu kereta yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori juga mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fazley menasihatkan orang awam agar memandu dalam keadaan yang selamat dan patuh kepada kelajuan yang ditetapkan terutama ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.