Live Facebook sampai 3 pagi, Mak menangis jualan bundle habis diborong

PANDEMIK COVID-19 yang melanda seluruh negara kini menguji semua pihak, khususnya mereka yang mencari nafkah dengan hanya bergantung pada keuntungan atau jualan harian semata-mata.

Antara yang terjejas teruk ialah peniaga pasar malam dan gerai serta penjaja.

Sedar tak sedar, wabak ini menuntut mereka untuk bertindak secara kreatif demi kelangsungan hidup dalam suasana norma baharu.

Bagi Rosidah Ahmad, peniaga pakaian terpakai atau ‘bundle’ ini mengetepikan jurang usia dan mula berjinak dengan jualan secara dalam talian.

Walaupun dirinya serba kekurangan dalam memahami apatah lagi menggunakan teknologi terkini, Mak tampil dalam siaran langsung Facebook untuk menjual barang-barangnya.

Kegigihan wanita ini berjaya mencuri hati ramai warga maya susulan sanggup bersiaran langsung hingga jam 3 pagi.

Bagi Norazman Md Nor, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan insan yang mesra disapanya sebagai “Mak”.

Sumber Facebook decade.khayalan

“Mak ni live time-time macam ni (3 pagi), jual baju bundle. Semua sehelai RM1.

“Daripada view tiga keempat orang tiba-tiba mendadak naik view sampai 170.

“Ada dua orang hamba Allah ini terbuka hati nak ‘kunci’ 100 dan 50 helai baju bundle mak.

“Mak jadi serba salah dengan penonton, risau yang tak dapat, marah dan tak puas hati (tapi) ramai yang cakap patut mak ambil (pembelian) serta habiskan (jualan) supaya dapat rehat awal,” kata warga maya itu.

Kata Norazman Md Nor lagi, individu yang ‘kunci’ 100 dan 50 helai itu bagaimanapun tidak mahu baju-baju bundle tersebut.

Sebaliknya meminta supaya mak ambil wang pemberian mereka dan menjual semula pembelian tersebut kepada orang lain.

“Mak cakap tak nak, dia cakap tak elok, jadi mak nak sedekahkan baju-baju itu di tempat yang memerlukan (supaya) mengalir pahala itu.

“Orang cuba nak senangkan mak supaya dapat rehat awal, (tapi) mak jadi asbab untuk orang lain buat pahala dan bersedekah,” katanya.

Dalam catatan yang sama jelas lelaki berkenaan, sikap Rosidah Ahmad itu turut menyebabkan beberapa warga maya meninjau akaun Facebook wanita yang berasal dari Pulau Pinang tersebut dan mendapati dia membuat nasi lemak untuk sedekah di masjid serta surau.

“Ramai yang pakat suruh mak buat sampai RM1,000 untuk sedekah.

“Siapa yang dapat join live mesti menangis macam aku,” tulisnya lagi.

Rata-rata warga maya menulis komen positif di akaun wanita berusia itu dan ada juga yang menyatakan rindu kepada ibu masing-masing selepas melihat “Mak” Rosidah Ahmad.

“Ya semalam tengok live mak ni, dan sempat jugak suruh suami masukkan RM100 tapi kami tak ambil baju pun.

“Minta mak jual balik (sebab) niat nak bantu mak. Cukup mak doakan kami ada zuriat.

“Semoga mak dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yg baik baik.

“Ala, tiba-tiba rindu mak kita. Mak, adik rindu mak,” kata Pija Majid.

Video siaran langsung “Mak” Rosidah Ahmad kini tular di media sosial dan bilangan rakannya di Facebook pula sudah mencecah 5,000 orang. – AA