Lirik lagu salah tatabahasa ‘dengup bukan deyut’ guru BM beri fakta sebenar

Lirik lagu salah tatabahasa ‘dengup bukan deyut’ guru BM beri fakta sebenar

Seorang guru selebriti tampil membetulkan lirik ‘denyut jantungku berdebar’ dalam lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin yang sedang popular ketika ini.

Menurut Zack Kirana Ibrahim, perkataan ‘denyut’ sepatutnya digantikan dengan ‘degup’ kerana lebih tepat bagi menggambarkan keadaan jantung.

 

 

Menerusi sebuah hantaran di laman Instagram, guru Bahasa Malaysia itu sempat berseloroh mengatakan kedudukan jantung penyanyi berkemungkinan berada di bahagian lain.

“Untuk jantung kita gunakan degup, bukan denyut. Saya fikir mungkin jantung dia, ‘skala richter’ rendah kot. Dia macam nyut-nyut macam tu je.
Ataupun mungkin kedudukan jantung dia berada dekat bahagian kepala, mungkin bahagian nadi, di pergelangan tangan. Jadi otak saya dia macam melilau,” katanya.

Zack berkata, lagu ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul Karim Al Ali (Syria) itu telah menjadi kegemarannya tetapi agak kecewa dengan penggunaan tatabahasa yang kurang tepat.

“Denyut dengan degup, berbeza. Jadi bila saya bayangkan jantung berdenyut tu dia macam, nyut-nyut. Risau saya takut dia ada masalah lemah jantung..
“…kita kena kejarkan dia ke hospital. Tapi saya suka lagu ni,” ujarnya

Sementara itu, dia turut memberi penjelasan tentang pelanggaran hukum tatabahasa yang ‘dibenarkan’ dalam lirik lagu atau puisi.

“Memang betul penulisan kreatif seperti puisi, lirik lagu dan sebagainya ada sedikit kebebasan untuk melanggar hukum tatabahasa.
“Tetapi awak kena tahu, yang kita langgar hukum tatabahasa tu adalah perkara yang biasanya tidak boleh dibayangkan.
“Contohnya, kata sendi nama ‘di’. Ada lirik lagu raya dia tulis ‘di hari raya’ sepatutnya ‘pada hari raya. Sebab ‘di’ kita tak dapat bayangkan jadi takde masalah.
“Yang berkaitan imbuhan, contohnya mencintai jadi menyintai. Tapi kalau yang melibatkan kata nama dan juga kata kerja…
“…perkara yang boleh kita bayangkan dan kalau kita salah pilih perkataan itu, dia akan bagi bayangan yang berbeza kepada jalan cerita lagu tersebut,” kongsinya.

Sekadar info, lagu menggunakan bahasa Melayu dan Arab itu mencetuskan fenomena tersendiri kerana berjaya menduduki carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

 

 

Sumber: Instagram Zack Kirana , YouTube Masyhur