Lima termasuk bayi maut dalam kemalangan kereta bertembung lori treler

Lima termasuk bayi maut dalam kemalangan kereta bertembung lori treler

 

 

 

 

 

Lima beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, di sini hari ini.

Mereka yang maut dikenali Muhammad Rosli Ibrahim, 33; Nor Afikah Abdullah Sani, 35; Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6 dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identiti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan kereta Toyota dan sebuah treler pada 3.40 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba kereta itu memasuki laluan treler yang berada di laluan Kuantan-Segamat.

“Pemandu treler cuba mengelak ke kiri jalan tetapi disebabkan jarak terlalu dekat, treler itu melanggar di bahagian hadapan kereta.

“Akibat pelanggaran, pemandu dan empat penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu treler berusia 26 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 13 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan dan Taman Tas, di sini bergegas ke lokasi kemalangan.

“Lima mangsa di dalam kereta dikeluarkan anggota menggunakan peralatan menyelamat.

“Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.