Lim dakwa MCA membisu apabila peruntukan untuk kaum Cina dipotong

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa MCA ‘membantu’ penindasan terhadap kaum Cina apabila peruntukan kepada mereka dipotong dalam Belanjawan 2021.

Meskipun demikian, kata Lim, MCA bersikap membisu mengenai perkara itu.

“Apakah ada menteri MCA yang membangkitkan isu pemotongan peruntukan untuk masyarakat Cina?” soal Lim dalam satu kenyataan.

“MCA mendakwa ia menyertai kerajaan pintu belakang untuk menyelamatkan negara tapi sekarang membantu kerajaan pintu belakang untuk menindas masyarakat Cina,” tambahnya dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Cina.

MCA merupakan sebahagian parti dalam kerajaan PN setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada penghujung Feb tahun ini.

Lim berkata, masyarakat Cina dijangka mendapat peruntukan sekitar RM404.5 juta pada tahun ini yang merangkumi RM219.5 juta untuk pendidikan, RM100 juta pinjaman perniagaan kecil dan RM85 juta untuk infrastruktur dan penyelenggaraan kampung baru.

Sebagai ganti, dia berkata kaum Cina hanya memperoleh RM177 juta dalam Belanjawan 2021, yang merupakan 0.055 peratus daripada jumlah belanjawan sebanyak RM322.54 bilion.

Lim mendakwa MCA tidak berusaha untuk membangkitkan masalah itu dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan sebaliknya memilih menyerang lawannya sebagai taktik mengalih perhatian.

Pembangkang juga membangkitkan isu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman milik MCA yang diperuntukkan hanya RM2 juta di bawah Belanjawan 2021 walaupun kerajaan PH sebelum ini mengumumkan peruntukan RM40 juta.

Bagaimanapun, Presiden MCA Wee Ka Siong berpendapat kolej universiti itu akan mendapat dana tersebut walaupun tiada “hitam putih” dalam dokumen belanjawan.

Sumber: Malaysiakini