Lelaki toreh tangan ahli politik selepas buat aduan SPRM

Lelaki toreh tangan ahli politik selepas buat aduan SPRM

 

Seorang lelaki cedera di tangan kiri akibat ditoreh dengan menggunakan pisau dalam satu pergaduhan di hadapan Jolly Hair Salon Batu 5, Jalan Ipoh, dekat sini semalam.

Difahamkan kedua-dua individu itu merupakan ahli politik berlainan parti telah berselisih faham selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan seorang lelaki tempatan yang juga ahli politik didakwa telah ditoreh di tangan kiri dengan menggunakan sebilah pisau sekitar pukul 9.17 malam.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada pukul 4 petang apabila mangsa yang berumur 42 tahun telah berselisih faham dengan seorang lelaki tempatan yang dikenalinya.

“Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati dengan aduan SPRM berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atasnya.

Jelas beliau, bertindak atas siasatan, pihak polis telah menahan suspek yang berumur 36 tahun ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 11.50 malam pada hari yang sama.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau masing-masing satu berkaitan kes dadah dan dua jenayah,” ujarnya.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.