Lelaki maut selepas tertidur ketika merokok

Akibat terlena ketika merokok di tempat tidur menyebabkan seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas flat didiaminya terbakar.

Pada kejadian 13 Februari tahun lalu itu, mangsa berusia 66 tahun yang tinggal berseorangan sempat diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian meninggal dunia di hospital akibat melecur teruk dan terhidu asap.

Channel News Asia melaporkan dapatan itu dirumuskan oleh koroner yang menyiasat kematian mangsa.

Ia berdasarkan laporan siasatan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang mendapati adanya puntung dan rokok berhampiran tilam yang terbakar di ruang tamu.

Selain itu, pemetik api ditemui di atas meja dan dalam kabinet.

Bekas habuk yang penuh dengan puntung rokok juga ditemui di atas meja di ruang tamu.

Tetapi, kotak rokok ditempatkan di dalam kabinet.

Laporan sama turut mendedahkan kerosakan akibat kebakaran itu dan api bermula di tilam di ruang tamu.

Bagaimanapun, tiada tanda berhubung litar pintas elektrik.

Sisa kotak rokok juga ditemui dekat dengan tilam dan ia menguatkan dakwaan mangsa merokok di atas tilam atau berhampiran dengannya.

Tiada alkohol ditemui dalam sampel darah mangsa dan tidak dapat dipastikan sama ada ia menjejaskan keupayaan lelaki itu untuk menyedari kebakaran dan melarikan diri.

Jadi, puntung rokok yang masih hidup terkena pada fabrik mungkin menyebabkan percikan api sehingga tercetus kebakaran.

Berikutan itu, Koroner Kamala Ponnampalam memutuskan kematian mangsa sebagai kemalangan sambil menyatakan tiada asas untuk mengesyaki unsur jenayah. – HM