Lelaki Malaysia ditembak penduduk Thailand selepas menang acara laga ayam

Lelaki Malaysia ditembak penduduk Thailand selepas menang acara laga ayam

 

 

 

 

Seorang lelaki Malaysia yang masuk ke Thailand secara haram bagi menghadiri acara laga ayam ditembak di Sungai Golok, lapor laman berita tempatan, Thaiger semalam.

Insiden malam Sabtu lalu itu menyaksikan lelaki berkenaan berenang kembali ke negara asalnya dalam keadaan tangannya berlumuran darah.

Menurut laporan, ayam laga milik lelaki berkenaan menang dalam perlawanan tersebut, namun nasibnya bertukar malang apabila sekumpulan penduduk Thailand yang tidak berpuas hati, bertindak menembaknya pada bahagian tangan ketika dia dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Disebabkan bimbang berdepan masalah  dengan pihak berkuasa Thailand, lelaki itu memilih untuk  berenang masuk ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Dia sebelum itu dikatakan pergi ke Thailand secara haram untuk menghadiri acara laga ayam yang diadakan di seberang  Sungai Golok (sebelah Thailand).

Disebabkan enggan terlepas acara pembukaan, lelaki berkenaan masuk ke Thailand secara haram untuk menjimatkan masa meskipun beberapa rakannya menggunakan laluan yang sah.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditembak sebanyak tiga das oleh sekumpulan penduduk tempatan.

Salah satu tembakan itu mengenai bahagian tangannya.