Lelaki kurang siuman rosakkan Jalur Gemilang ditahan polis

Lelaki kurang siuman rosakkan Jalur Gemilang ditahan polis

Polis mengambil tindakan ke atas seorang lelaki disyaki kurang siuman yang didakwa merosakkan Jalur Gemilang di Jalan Tun Sambanthan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.20 petang.

“Apabila unit rondaan bermotosikal tiba di lokasi, terdapat dua pegawai Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) bersama seorang lelaki disyaki kurang siuman.

“Pegawai DBKL itu membuat aduan apabila mendapati lelaki tersebut merosakkan Jalur Gemilang berdekatan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amihizam, polis kemudian mendapatkan bantuan anggota kereta peronda sebelum membawa lelaki itu ke Balai Polis Brickfields bagi tujuan dokumentasi.

“Lelaki yang disyaki kurang siuman tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi pemeriksaan kesihatan dan untuk dirujuk ke wad Psikiatri.

“Polis menasihati orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi MERS 999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau ke balai polis berhampiran,” ujarnya.