Lelaki ditangkap khalwat bersama teman wanita, dah duduk sekali selama 2 bulan

Seorang lelaki yang ditangkap berkhalwat hari ini, memberi alasan menumpang di rumah sewa pasangannya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kerana dekat dengan tempat kerja.

Lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di kedai makan dan pasangannya berumur 17 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat jam 12.30 tengah hari tadi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan diketuai Syeikh Mohd Izzudin Mohd Yusof berdasarkan aduan diterima berhubung pasangan itu yang disyaki berkhalwat.

“Lelaki yang berasal dari Ayer Hitam, Jitra itu bujang dan dipercayai menumpang di rumah berkenaan hampir dua bulan dan mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen membuktikan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali. – HM