Lelaki ditahan pihak polis, pukul ibu kerana tidak kemas rumah

Lelaki ditahan pihak polis, pukul ibu kerana tidak kemas rumah

Gara-gara berang rumah tak dikemas, seorang lelaki tergamak memukul ibunya sendiri. Apa punya perangai lah ni?

Memetik laporan daripada Bernama, kejadian tersebut berlaku di rumah mangsa yang terletak di Kampung Lindungan Sungai Way, Petaling Jaya, Jumaat yang lepas.

Susulan daripada itu, pihak polis menahan seorang remaja lelaki yang telah menyebabkan ibunya cedera di bahagian muka dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, suspek yang berusia 19 tahun itu juga dikatakan bertindak mengunci pintu hadapan dan membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa ketika kejadian.

Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu turut bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada sebelah kiri.

Bertindak atas laporan dibuat ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga Sabtu (5 Nov) ini bagi membantu siasatan.

Tambah Mohamad Fakhruddin lagi, kejadian berkenaan bukanlah kali pertama berlaku dan kini pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya.

Suspek didapati negatif dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek merbahaya.

Kredit: Bernama