Lelaki dibunuh kerana tegur anak jiran buat bising naik motor

Lelaki dibunuh kerana tegur anak jiran buat bising naik motor

Di Teluk Intan, Perak, seorang lelaki berusia 29 tahun maut dipercayai dibunuh oleh jiran sendiri kerana menegur anak suspek membuat bising dengan menunggang motosikal di kawasan perumahan mereka. Memetik laporan Astro Awani, suspek berang apabila anaknya ditegur mangsa pada 13 Mei lalu, sebelum berlakunya insiden pembunuhan.

Mangsa ditemui dalam semak

Ketua Polis Daerah Hilir Perak iaitu Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri melaporkan telah menemui mayat seorang lelaki di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap dalam keadaan lengan tangan kanan hampir putus di dalam semak. Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam.

Meninjau laporan pihak berkuasa, dipercayai suspek berusia 34 tahun itu berang kerana anak ditegur oleh mangsa dipercayai menunggang motosikal dan membuat bising. Laporan terkini, suspek bersama empat lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

Difahamkan, mangsa sedang minum di sebuah kedai kosong berhampiran bersama rakannya sebelum didatangi lapan lelaki lain. Lapan individu itu menyerang mereka bersenjatakan parang dan mangsa melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

Mangsa dan suspek utama tinggal berjiran, dimana rumah mereka hanya berselang dua buah rumah. Empat lelaki lain yang ditangkap bersama suspek utama akan diberi jamin dan diikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebagai saksi pendakwaan.

Sumber: Astro Awani