Lelaki curi duit tabung masjid diburu polis

Lelaki curi duit tabung masjid diburu polis

Pihak polis dilaporkan sedang giat mengesan seorang lelaki yang bertindak mencuri duit tabung Masjid Nadhah Seksyen 18, Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya telah menerima laporan berkenaan dengan kejadian tersebut daripada ahli jawatan kuasa masjid berkenaan semalam.

Jelasnya, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati bahawa lelaki yang disyaki berbangsa Melayu itu telah mengambil duit tabung masjid berkenaan pada pukul 4.18 pagi hingga 4.30 pagi dengan menggunakan pembaris besi.

“Jumlah kerugian tidak dapat disahkan kerana wang tersebut merupakan derma kepada tabung masjid.

“Namun, hasil semakan mendapati suspek mengambil wang tunai bernilai RM1 sebanyak lima ke enam kali,” memetik laporan Utusan TV.

Tambahnya, masjid tersebut telah berpagar dan berkunci serta tiada pengawal keselamatan yang bertugas pada ketika itu.

Semakan yang dibuat terhadap empat buah CCTV terpasang mendapati bahawa suspek telah memasuki masjid berkenaan dengan memanjat tembok belakang yang terletak di bahagian belakang masjid.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat digesa untuk menyalurkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Anis Shafina di talian 017-2944535.

Sumber: Utusan TV