Lelaki campak batu nisan dalam masjid diburu

Lelaki campak batu nisan dalam masjid diburu

Seorang lelaki dikesan mencabut dan membaling batu nisan ke dalam Masjid Al-Ittihad di Sungai Kob, di sini hari ini.

Perbuatan itu disedari seorang jemaah lelaki berusia 60- an yang tiba di masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berkenaan terkejut apabila melihat batu nisan di bahagian saf hadapan masjid sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati cermin hadapan masjid terbabit pecah akibat dilontar batu nisan. Siasatan lanjut mendapati terdapat tanah perkuburan Islam bersebelahan masjid.

“Kita juga mendapati batu nisan yang ditemui dalam masjid itu dicabut dari tanah perkuburan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi dan motif kejadian masih disiasat.

“Kita percaya kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan isu agama dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Mohd Asnizaf Alias di talian 013-4358399.