Lelaki bunuh jiran kerana kerap ditanya kenapa masih belum kahwin

Lelaki bunuh jiran kerana kerap ditanya kenapa masih belum kahwin

 

Tidak tahan kerap sangat diajukan mengapa tidak berkahwin, menyebabkan seorang lelaki Indonesia panas hati sebelum nekad membunuh jirannya, lapor Straits Times.

Media tempatan Indonesia melaporkan, kejadian itu berlaku di Tapanuli Selatan, yang terletak di Sumatera Utara, pada 29 Julai lalu.

Penolong Pesuruhjaya Polis wilayah itu, Maria Marpaung berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun didakwa membunuh jirannya yang juga penjawat awam, Asgim Irianto, 60, selepas terkesan dengan sikap mereka yang kerap bertanya kepadanya mengapa dia tidak berkahwin.

“Berdasarkan kenyataan isteri Asgim, penyerang, Parlindungan Siregar, tiba di rumah mereka kira-kira 8 malam pada 29 Julai sambil menghunus sebatang kayu dan mula menyerang mangsa tanpa amaran.

“Asgim berlari keluar ke jalan, di mana dia dikejar Parlindungan sebelum terkena hentakan di kepala sebelum, terus dipukul suspek.

“Penduduk di kawasan itu akhirnya menghentikan pukulan sebelum membawa Asgim ke hospital, tetapi dia meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan,” katanya dalam laporan Detik Jogja.

Menurut Maria, suspek mendakwa, dia tekad memukul Asgim sehingga mati kerana kekerapan jirannya bertanya kepadanya secara bergurau, mengapa dia tidak berkahwin.

Laporan itu menyebut, sebelum serangan maut itu, kedua-dua jiran itu turut bertengkar mengenai ayam milik masing-masing.