Lelaki alami kemurungan terjun sungai Kelantan

Lelaki alami kemurungan terjun sungai Kelantan

 

Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan sejak lebih setahun lalu dipercayai lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kelantan melalui Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa yang berusia 46 tahun meninggal motosikal jenis Honda Wave sebelum dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.

Isteri mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Yah, 42, berkata, sebelum ini, suaminya sering mengadu tertekan dan mengalami kemurungan.

Katanya, mangsa berpakaian kemas dan sempat menghantar anak bongsunya ke sekolah sebelum memaklum akan terus bergerak ke tempat kerja pagi tadi.

“Saya terkejut apabila rakan-rakannya dan polis datang ke rumah dengan memaklumkan suami saya hilang selepas meninggalkan motosikalnya di atas Jambatan Sultan Ismail Petra.

“Sebelum ini, dia juga kerap memberitahu ingin terjun ke dalam sungai kerana jambatan itu merupakan laluannya setiap hari untuk ke tempat kerja dari rumah kami di Pasir Pekan ke Kota Bharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.