Larangan jual arak sebab ikut negara lain, bukan kerana agama

Garis panduan baru lesen minuman keras (LMK) yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan perkara baru kerana peraturan itu sudah diperkenalkan di negara lain, termasuk Eropah, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Beliau berkata, DBKL melakukan tinjauan ke atas negara lain, di samping mengkaji sistem yang diguna pakai Singapura sebelum memperkenalkan garis panduan baru itu di ibu negara.

“Kita juga lihat peraturan yang dipakai di negara lain, termasuk Eropah, di mana pembelian minuman keras memang sangat dikawal dari segi waktu dan lesen tempat yang boleh dijual. Oleh itu, isu ini tiada kena-mengena dengan isu agama mahupun perkauman,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 yang turut dihadiri Timbalannya, Santhara Kumar.

Beliau menegaskan garis panduan itu bertujuan mengawal penjualan arak secara terbuka dan bebas di ibu negara, selepas menerima pelbagai aduan daripada orang awam mengenai masalah yang timbul, termasuk penjualan arak kepada golongan bawah umur dan pelajar sekolah.

Pada 16 Nov lalu, DBKL memperkenalkan garis panduan baru lesen minuman keras yang antara lain menetapkan kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual minuman keras mulai 1 Okt tahun depan.

Sementara itu, Annuar berkata, kementeriannya memperuntukkan RM39.75 juta bagi melaksanakan inisiatif Wilayah Cakna 3.0 untuk warga kota yang terjejas dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Sumber: Free Malaysia Today