Lambat jemput suami sebab hujan lebat, suami geram ugut nak jatuh talak!

Lambat jemput suami sebab hujan lebat, suami geram ugut nak jatuh talak!

Seorang Peguam Syarie, Amalina Adam menerusi satu perkongsian di Facebook menceritakan tentang kisah si suami yang ‘gemar’ melafazkan talak jika dia tidak berpuas hati dengan isteri.

Isteri lambat jemput, suami ugut jatuh talak

 

Sejak berkahwin lagi, si suami tidak mempunyai sikap bertolak ansur dalam menguruskan rumah tangga termasuklah menjaga kedua-dua anak perempuan mereka. Malah, si suami kerap mengeluh kerana penat bekerja sedangkan isterinya juga bekerja dan bukan suri rumah sepenuh masa.

Salah sedikit saja pun akan diugut dengan cerai atau talak. Lambat buka pintu rumah disebutnya talak. Masak kurang sedap pun diugutnya talak. Semua perkara diugut dengan talak atau cerai.

Hendak dijadikan cerita, lelaki berkenaan meminta isteri untuk menjemputnya di pejabat. Namun disebabkan hujan, isterinya memandu kereta secara perlahan. Berang dengan isterinya yang lambat, lelaki berkenaan sanggup menjatuhkan talak jika isterinya lewat lima minit.

Suami menelefon isteri, suami terus menyebut ‘ lagi 5 minit kau tak sampai, aku bagi talak!’. Memang tak lah 5 minit sahaja nak terus sampai ke pejabat sebab hujan sangat lebat.

Sebaik sahaja tiba di pejabat suami bekerja dan suami terus kata ‘aku tarik balik apa yang aku cakap tadi dan abaikan’.

Wanita berkenaan mengaku yang dia tidak arif dalam isu talak dan mengambil keputusan untuk mengabaikan apa yang suaminya pernah lafazkan. Ujarnya lagi, suaminya sering menarik balik lafaz talak dan cerai dan dia menganggap lafaz tersebut telah selesai.

Isteri pernah meminta suami merujuk kepada pakar untuk mendapatkan rawatan lanjut tentang sikap suami yang suka menyebut talak/cerai tetapi suami enggan serta menafikan sekerasnya bahawa dirinya tidak perlu merujuk kepada mana-mana pakar.

‘Kau nak sangat semua talak sebelum ini tersabit kan?’

Sekadar gambar hiasan

Namun pada suatu hari wanita berkenaan terdengar perbualan rakannya di mana talak tidak boleh ditarik balik jika suami telah melafazkannya. Ayat berkenaan bermain difikirannya sehingga beberapa bulan.

Perasaan takut menghantui diri isteri apabila mengenangkan banyak jumlah talak atau cerai dilafazkan oleh suami dan suami bertindak menarik semula lafaz-lafaz tersebut apabila mendapati isteri telah langgar.

Walau bagaimanapun, si isteri cuba untuk berbincang dengan suaminya mengenai perkara yang dikatakan oleh rakannya itu. Namun suaminya mengatakan bahawa rakan pejabatnya itu berlagak alim dan menafikan mengenai hukum talak berkenaan.

Apabila si isteri menceritakan sekali lagi mengenai hukum talak dan mengajak suaminya ke mahkamah syariah untuk mengesahkan lafaz cerai itu, suaminya bertindak melafazkan talak sekali lagi.

Suami tersenyum dan terus menyebut ‘kau nak sangat semua talak sebelum ini tersabit kan?. Baik. Aku ceraikan kau dengan talak 10!’.

Si isteri tergamam dengan kata-kata suaminya itu kerana tidak menyangka bahawa lelaki berkenaan akan melafazkan talak lagi. Setelah mendengar apa yang dilafazkan oleh suaminya itu, wanita berkenaan bertindak mengemas pakaian serta membawa anak-anaknya keluar dari rumah tersebut.

Kini, wanita berkenaan dalam proses untuk memfailkan kes pengesahan lafaz cerai bersama peguam syarie.

Dalam pada itu, Peguam Syarie Amalina Adam turut mengingatkan bahawa setiap lafaz taklik yang telah dilafazkan oleh suami tidak boleh ditarik semua atau dibatalkan.

Sumber : Peguam Syarie : Amalina Adam