Lagak samurai selepas telan pil.
Singapura: Lelaki berusia 37 tahun yang ditahan pada Isnin atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan pedang akan didakwa di mahkamah.
Straits Times melaporkan, polis dalam satu kenyataan mengesahkan menerima panggilan kira-kira jam 1.55 tengah hari Isnin bagi mendapatkan bantuan menahan lelaki yang menghayun pedang berhampiran pusat membeli-belah Buangkok Square, di sini dan menghentikan kenderaan daripada arah depan.
Siasatan awal mendapati lelaki itu mengambil beberapa pil yang tidak diketahui sebelum meninggalkan rumahnya dengan membawa sebilah pedang.
Lelaki itu turut bertengkar dengan orang awam di lobi lif blok HDB tempatnya menetap.
Dia kemudian berjalan melintasi jalan, dan menggunakan senjata dibawa untuk menghalang lima kereta yang melalui jalan berkenaan.
Sebaik tiba di persimpangan lalu lintas di hadapan Buangkok Square Mall, lelaki itu dikatakan menghayunkan senjatanya ke arah pejalan kaki.
Orang awam tampil dan membantu menahannya sehingga polis tiba di tempat kejadian.
Dalam kenyataan sama, polis memaklumkan enam orang awam membantu polis menahan lelaki itu.
Lelaki itu dan dua orang awam cedera ringan, dengan seorang mangsa dibawa ke Hospital Besar Sengkang dalam keadaan sedar selepas mengalami dua kesan tetakan di lengan kirinya.
Sementara, seorang lagi mangsa melecet pada lutut kirinya.
Polis berkata, pedang itu dirampas sebagai barang bukti dan siasatan sedang dijalankan.
Dalam video yang tular di laman sosial, lelaki itu dilihat berjalan di sepanjang jalan sambil memegang pedang.
Lelaki itu kemudiannya menghayunkan pedang di tangannya ke arah kenderaan yang lalu lintas.
Ketika berjalan ke arah persimpangan pejalan kaki, lelaki itu meluru ke hadapan untuk menyerang orang yang lalu lalang sebelum tergelincir, jatuh ke lantai dan ditangkap sekumpulan orang awam.
Menurut polis, lelaki itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau iaitu melakukan pelbagai kesalahan, termasuk keganasan.
Dia sebelum ini direman di Institut Kesihatan Mental dan kali terakhir dibebaskan dari penjara pada 30 Julai 2020 selepas menjalani hukuman sembilan bulan dan dua minggu atas pelbagai kesalahan, termasuk keganasan dan membabitkan penjawat awam.