KKM kenal pasti permis tikus ‘jamah’ ayam, operasi restoran diarah tutup 14 hari serta merta

KKM kenal pasti permis tikus ‘jamah’ ayam, operasi restoran diarah tutup 14 hari serta merta

Pada beberapa hari lalu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meminta orang ramai untuk membantu berkongsi maklumat terperinci seperti lokasi dan nama restoran yang dirakam menjadi tempat seekor tikus menjamu selera ayam goreng yang tersedia.

Terbaharu, KKM berkongsi perkembangan terkini mengenai isu tersebut.

Memetik kenyataan rasminya, KKM mengambil maklum isu sebuah video yang merakamkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng di sebuah kedai makan yang viral di media sosial.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan berhubung video yang viral dan mengenalpasti lokasi premis yang terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Pasukan penguatkuasa kesihatan BKKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat pada 24 Disember 2022.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan. Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak 6 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” petik kenyataan rasmi Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

 

KKM memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan. Justeru KKM menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah.

Orang ramai juga diminta untuk menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) jika mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan.