Kilang diserbu, 350 pekerja ditahan untuk pemeriksaan, netizen minta dedahkan wajah majikan

Kilang diserbu, 350 pekerja ditahan untuk pemeriksaan, netizen minta dedahkan wajah majikan

Terbaharu, pihak berkuasa telah menjalankan operasi Ops Patuh Bersepadu secara besar-besaran ke beberapa buah kilang di Subang Jaya. Dipercayai terdapat seramai 350 orang pekerja yang sedang bekerja ketika serbuan itu dijalankan pada petang tadi.

 

Situasi di sebuah kilang

Tangkap layar dari Facebook Hamzah Zainudin

Sebuah video yang dikongsikan menerusi laman Twitter Zulkifli Bujang menyaksikan pekerja-pekerja kilang tersebut duduk mencangkung beramai-ramai selepas serbuan. Difahamkan, situasi di kilang keluli di Subang Dua, Subang Jaya itu beroperasi seperti biasa, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Malah, mereka juga dipercayai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disarankan pihak kerajaan sebelum ini.

Tambah posting dari Zulkifli Bujang lagi, pihak berkuasa tidak menahan pekerja kilang tersebut tetapi hanya menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja asing di situ. Malah, tindakan susulan terhadap majikan kilang berkenaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ramainya pekerja…

Kelihatan gagal patuh SOP

Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri iaitu Dato Seri Hamzah Zainudin juga memuat naik sebuah video di platform Facebook rasminya mengenai situasi di pekarangan kilang berkenaan. Tambah Dato Seri Hamzah Zainudin, difahamkan sebilangan besar daripada mereka merupakan bekas pesakit positif Covid-19 sebelum ini.

Sebuah kilang pembuatan keluli di Subang Jaya, didapati beroperasi dan tidak patuh SOP PKP yang ditetapkan. Sebahagian besar daripada 350 pekerja yang didapati bekerja adalah dalam kalangan pekerja asing dan 90% daripada mereka pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini. Jabatan Imigresen Malaysia juga melakukan pemeriksaan terhadap dokumentasi mereka.

Mana majikan?

Sementara itu, meninjau di ruangan komen mendapati rata-rata netizen bersimpati dengan nasib pekerja yang diarahkan duduk bercangkung di tengah panas di kawasan kilang itu. Malah, mereka turut mempersoalkan tentang keberadaan majikan kilang tersebut. Bukan itu sahaja, netizen juga meminta agar pihak berkuasa mendedahkan wajah majikan kilang yang degil dan disifatkan sengaja mengundang penularan wabak Covid-19 ini.

Sumber: Zulkifli Bujang