Kes penceraian di Malaysia rekod peningkatan luar biasa sejak PKP dilaksana

Kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Malah, trend peningkatan itu juga dijangka berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa negeri.

Menurut laporan UUM Online, Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Faezah Nayan berkata, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja akibat Covid-19.

“Kehilangan pekerjaan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lebih parah apabila suami sebagai ketua keluarga diberhentikan kerja menyebabkan tiada duit untuk beli makanan, susu anak, lampin dan sebagainya, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga apabila suami isteri bergaduh.

“Masalah kewangan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami dengan isteri disebabkan tekanan dan akhirnya menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman di antara satu sama lain,” katanya pada program dalam talian bertajuk Kesejahteraan Psikologi Dalam Normal Baharu anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Perpati) UUM baru-baru ini.

Faezah berkata, kebanyakan kes yang berlaku melibatkan kumpulan B40 seperti peniaga kecil-kecilan, pembantu kedai makan, pekerja kilang dan ada juga yang bekerja sendiri.

“Apabila ada masalah kewangan mereka terpaksa menjual apa yang ada seperti telefon bimbit, beg tangan mahal, kasut sukan berjenama demi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi apabila tiada telefon bimbit bukan sahaja akan menyukarkan komunikasi dengan orang lain, bahkan juga menyebabkan anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Jadi masalah ini saling berkait dan rentetan daripada masalah kewangan boleh menyebabkan konflik hubungan suami isteri yang tidak berkesudahan, akhirnya mencetuskan perceraian atau meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Menurut beliau, kesejahteraan psikologi merujuk kepada individu mempunyai mood dan emosi yang positif seperti gembira, bahagia, bersemangat, rendah emosi negatif dengan kualiti kehidupan yang merangkumi kualiti pekerjaan dan kekeluargaan serta berfungsi secara positif iaitu memiliki autonomi serta makna serta tujuan untuk hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesejahteraan psikologi bermaksud tiada penyakit mental di mana keadaan seseorang yang berfungsi pada tahap penyesuaian emosi dan tingkah laku yang memuaskan atau keupayaan individu untuk menikmati kehidupan selain mewujudkan keseimbangan antara aktiviti kehidupan serta usaha untuk mencapai daya tahan psikologi.

Tambahnya, berdasarkan Teori Hierarki Maslow, faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan psikologi membabitkan lima keperluan manusia iaitu keperluan asas, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan pengharapan dan keperluan sempurna kendiri.

“Apabila kelima-lima keperluan tersebut tidak dipenuhi maka wujudlah psikologi yang tidak sejahtera iaitu rasa sedih, kecewa, tertekan, murung, bercelaru, bimbang dan trauma,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/116749/BERITA/Nasional/Kes-perceraian-di-Malaysia-rekodkan-peningkatan-luar-biasa?fbclid=IwAR2W8BVqjW7SAhYhmDe29HdEFqJJeX0CrInYiTneslQGdL3KrOXitYQEEd4