Kes lelaki OKU Malaysia dijatuhi hukuman gantung di Singapura, ini 8 fakta tentang kes tersebut

Kes lelaki OKU Malaysia dijatuhi hukuman gantung di Singapura, ini 8 fakta tentang kes tersebut

 

Seorang lelaki rakyat Malaysia berstatus OKU, Nagaentran Dharmalingam telah menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura atas kesalahan penyeludupan dadah jenis heroin seberat 42.72 gram.

Perkara itu disahkan adiknya, Navin Kumar yang turut memaklumkan mayat Nagaentran, 34, yang juga anak kedua daripada empat beradik akan dihantar pulang ke Ipoh.

Berikut lapan fakta berkaitan kes itu:

1. Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu didapati dilekatkan di paha kirinya.

2. Mendiang kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun berikutnya, namun berjaya ditangguh sehingga 2022 menerusi beberapa siri rayuan dan petisyen yang dilakukan oleh pihak peguam bela.

3. Mahkamah Rayuan menolak hujah dikemukakan pasukan peguam bahawa Nagaenthran Dharmalingam perlu dikecualikan daripada hukuman itu kerana mengalami masalah ketidakupayaan mental dan merupakan OKU pembelajaran yang ada tahap kecerdasan atau IQ serendah 69.

4. Mahkamah bagaimanapun memutuskan Nagaenthran sedar apa yang dilakukan ketika melakukan jenayah itu. Hakim menolak kes rayuan itu sebagai ‘tidak berasas dan tanpa merit serta kedua-duanya sebagai fakta dan undang-undang.

5. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong supaya mempertimbangkan semula hukuman mati yang dikenakan.

6. Proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara namun telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020.

7. Kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.

8. Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah.

Rakyat Malaysia OKU KEs Dadah Hukuman Gantung

Singapura dikenali sebagai salah sebuah negara paling tegas dalam pelaksanaan hukuman yang membabitkan kesalahan penggunaan dan pengedaran dadah.