Kes Kluster Tembok di Kedah meningkat setiap hari

Tidak boleh memberi rawatan secara bersemuka, antara kesukaran dihadapi petugas kesihatan dalam merawat tahanan penjara bagi Kluster Tembok yang dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ketika ini petugas kesihatan hanya dibenar memberi ubat tanpa bersemuka dengan pesakit itu.

Manakala, katanya, tahanan yang kritikal pula sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

“Kita ada masalah sedikit dalam memberi rawatan untuk tahanan kerana petugas kesihatan tidak boleh jumpa mereka secara terus, kecuali kes tertentu barulah dibenar merawat mereka secara bersemuka.

“Bagi pesakit agak serius sudah dipindahkan ke HSB dan setakat ini 35 tahanan berada di hospital itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati tidak menolak kemungkinan jumlah tahanan di hospital bertambah berikutan jumlah mereka positif yang meningkat setiap hari.

Menurutnya, meskipun majoriti pesakit dalam Kluster Tembok itu membabitkan banduan, terdapat kakitangan penjara yang disahkan positif wabak, termasuk seorang yang tinggal di Pendang.

“Warden penjara itu sudah dirawat di HSB dan ahli keluarganya sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu berhati-hati kerana risiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain adalah sama rata.

Katanya, untuk itu rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan elak daripada berkumpul di tempat yang sesak selain memakai pelitup muka dengan betul.

Sumber : Metro