Kes dadah 4 tahun lalu, hukuman penjara Farid Kamil diketepikan hanya perlu bayar denda RM5,000

Kes dadah 4 tahun lalu, hukuman penjara Farid Kamil diketepikan hanya perlu bayar denda RM5,000

 

Pelakon dan juga pengarah filem, Farid Kamil Zahari hari ini dilaporkan terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 kerana menggunakan dadah kira-kira 4 tahun lalu.

Hukuman diketepikan

Menerusi  Bernama, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said telah membuat keputusan selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Dua tahun pengawasan AADK

Walau bagaimanapun, hakim tetap mengekalkan dua tahun pengawasan dibawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terhadap aktor berkenaan dan penjara 6 bulan andai kata gagal membayar denda yang sudah ditetapkan.

Difahamkan, pihak hakim memberi penjelasan bahawa  tiada penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada waktu kejadian dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.
“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim.

Sangat bersyukur kes selesai

Selepas membayar denda, suami kepada pelakon Diana Danielle itu mengakui bahawa dia sangat bersyukur dengan apa yang telah dilalui dan menganggap keputusan yang diterima adalah yang terbaik.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019 telah menjatuhkan hukuman terbabit selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ’11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

Dia dituduh melakukan kesalahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

 

Sumber: Bernama