Kertas siasatan Menteri Pas telah ada ditangan Jabatan Peguam Negara

Kertas siasatan (IP) membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara telah diserahkan semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 1 Oktober lalu untuk tindakan lanjut AGC.

“Sudah serah semula pada 1 Oktober untuk kajian lanjut pihak AGC,” katanya seperti dipetik daripada laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) di sini hari ini.

Sebelum ini, pada 30 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan siasatan terhadap Mohd Khairuddin diteruskan.

Terdapat beberapa tindakan lagi yang perlu polis laksanakan selepas mendapat semula kertas siasatan yang diserah kepada AGC.

Mohd Khairuddin menjadi sasaran kritikan ekoran kegagalan beliau mematuhi arahan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki pada Julai lalu.

Beliau sebelum ini memaklumkan membayar denda RM1,000 dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadapnya.

Selain itu, Mohd Khairuddin turut memulangkan gaji sebagai menteri bagi bulan Mei hingga Ogos, untuk sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).

Sumber : Sinar Harian