Kerajaan PN tukar nama Bantuan Sara Hidup kepada Bantuan Prihatin Rakyat, bantuan bulanan ditambah

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik.

Bantuan berkenaan diumumkan menteri kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini:

Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800;

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM 4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200;

Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih;

Keempat: Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350 . Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga memberitahu bahawa bagi tahun 2020 kerajaan memperuntukkan RM21 bilion kepada 10.6 juta penerima.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat yang terkesan ekoran Covid-19.

“Bagi tahun 2020, BPN dan juga BSH, melibatkan penyaluran sebanyak RM21 bilion kepada 10.6 juta penerima.

“Pada bulan Januari 2021, bayaran BPN2.0 fasa kedua sebanyak RM2.2 bilion bakal disalurkan,” katanya.

Sumber: Malaysiakini