Kerajaan PN kaji lanjut PKPB hingga hujung tahun

Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk melanjutkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga hujung tahun ini sekiranya terdapat peningkatan kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata ini memandangkan PKPB yang dilaksanakan ketika ini berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan di setiap kawasan, dengan mengambil kira jumlah kes positif dan kadar jumlah keberjangkitan dalam lokaliti tersebut.

“Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk mengenakan PKPB sehingga hujung tahun ini sekiranya terdapat peningkatan kes.

“Pada masa yang sama, tindakan pembendungan perlu kita laksanakan bagi mencegah dan mengurangkan kes-kes Covid-19 kepada seminima yang boleh atau sehingga sifar kes melalui PKPB,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 

Untuk rekod, PKPB dikuatkuasakan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 November lalu, susulan peningkatan kes Covid-19.

Ia dikuatkuasakan selama dua minggu, serta dilanjutkan beberapa kali dan dijangka berakhir pada 6 Dis ini.

Selang beberapa hari, perintah sama kemudian dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Ketika sesi penggulungan perbahasan menteri bagi Belanjawan 2021, Mohd Redzuan juga berkata SOP tertentu telah dikeluarkan oleh masyarakat di bawah pengisytiharan kawalan pergerakan itu, bagi mencegah dan memutuskan rantaian wabak itu.

“Meskipun demikian, kerajaan sentiasa ambil maklum akan perit jerih rakyat dalam menempuhi kemerosotan ekonomi yang sedang dialami dalam Covid-19. Atas sebab itu, SOP ini sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa dan ditambah baik dengan bersifat dinamik mengikut keperluan rakyat,” katanya.

 

Redzuan turut menjawab cadangan dari Ahli Parlimen Langkawi (Dr Mahathir Mohamad), Pandan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Jerlun (Mukhriz Mahathir) mengenai potongan gaji dari 10 peratus hingga 30 peratus di kalangan menteri dan timbalan menteri bagi meringankan beban rakyat ketika pandemik Covid-19.

Katanya, ia juga telah dilakukan memandangkan mereka tidak mengambil gaji selama dua bulan iaitu kira-kira bersamaan 25 peratus potongan setiap tahun daripada gaji mereka.

“Kalau kita lihat, kerajaan PN telahpun tidak mengambil gaji selama dua bulan. Ini bersamaan lebih kurang 25 peratus potongan setiap tahun.

“Jadi saya rasa kita amat peka dengan keadaan ekonomi negara dan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita untuk memotong gaji menteri, timbalan menteri juga menteri kanan,” katanya.

Sumber: Malaysiakini