Keputusan lembaga tatatertib terhadap cikgu Fadli diketahui esok

Keputusan lembaga tatatertib terhadap cikgu Fadli diketahui esok

Keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh mengetengahkan masalah pendidikan di Malaysia khususnya silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan isu beg berat melalui media sosial, akan diketahui esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan itu akan diserahkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

“Saya baru dimaklumkan persidangan atau mesyuarat Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat sebentar tadi dan Insya Allah esok pihak urus setia berkenaan akan sampaikan keputusan berkenaan melalui ketua jabatannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi pengenalan jurulatih sukan Touch ternama dunia, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16 (1) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Pkharuddin memaklumkan, surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran Facebooknya menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Radzi berkata, perkara dibangkit Mohd Fadli tu sudah diambil tindakan oleh kementeriannya dan memberi contoh isu beg berat.

“KPM pada 6 Mac lalu memperkenalkan tujuh inisiatif bagi menangani perkara berkenaan antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar,” katanya.

Malah, mengenai silibus yang digunakan pula, Radzi berkata, perkara itu sudah diperkenalkan sejak 2017 selepas mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk guru yang berpakaran dalam bidang masing-masing dan ibu bapa.

“Ini bukan perkara baharu, bila sesuatu silibus itu diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan, ia bermakna untuk sekolah rendah silibus yang diperkenalkan pada tahun 2017 ini akan tamat pada 2022.

“Jadi murid tahun satu pada 2017 itu naik ke darjah enam pada 2022, ia dikira satu pusingan manakala bagi sekolah menengah, pusingan bagi silibus yang diperkenalkan pada tahun sama tamat pada 2021 kerana mereka sehingga tingkatan lima sahaja.

“Saya sudah jelaskan banyak kali yang KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli politik untuk tidak menggunakan isu silibus sebagai modal politik untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.