‘Kepalanya tersangkut di celah besi’, bayi lelaki 7 bulan maut
Seorang bayi lelaki dilaporkan maut dipercayai tersepit besi katil di sebuah asrama kebajikan Jitra, semalam.
Menerusi laporan Berita Harian, bayi berusia tujuh bulan itu ditemukan maut ketika dua pekerja asrama lelaki dan wanita masing-masing berumur 43 dan 60 tahun sedang bertugas pada ketika itu.
Menurut sumber, polis menerima panggilan daripada sebuah hospital pada jam 8.30 malam tadi berhubung kejadian dan bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan. Kejadian terbabit disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 hingga 8 malam apabila pekerja terbabit meninggalkan bayi tersebut di atas katil dalam keadaan terbaring dengan bantal di bahagian kiri dan kanan bayi
Dilaporkan mereka meninggalkan bayi itu kerana ingin berbuka puasa sekaligus menunaikan solat Maghrib.
Setelah selesai solat, wanita yang bertugas itu memeriksa kawasan katil dan mendapati bayi itu tersepit dalam keadaan kepalanya tersangkut di celah katil besi.
Hasil siasatan awal mendapati kemungkinan besar mangsa cuba merangkak dan keluar melalui celahan besi katil Hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan di badan mangsa yang dikaitkan dengan unsur jenayah.
Susulan itu, polis menahan dua pekerja berkenaan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dllaporkan mangsa dihantar ke asrama berkenaan untuk jagaan sementara disebabkan ibu bapanya berada dalam tahanan berhubung dengan kes dadah.
Kredit: Berita Harian