Kenali Tetsuya Yamagami, pembunuh Shinzo Abe

Kenali Tetsuya Yamagami, pembunuh Shinzo Abe

 

 

 

 

 

Polis Jepun telah melancarkan siasatan ke atas kes pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, namun tidak banyak yang diketahui mengenai suspek yang melepaskan tembakan di tempat kejadian.

Abe, 67, disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Universiti Perubatan Nara, pada jam 5.03 petang waktu tempatan pada Jumaat, hanya lebih lima jam selepas ditembak semasa menyampaikan ucapan kempen di hadapan sekumpulan kecil orang ramai di jalan di bandar Nara, barat Jepun.

 

Yamagami ditahan selepas Abe ditembak semasa berkempen di Nara pada Jumaat. - Foto Takashi Yamazaki/Yomiuri Shimbun

Lelaki yang dituduh membunuh Abe telahpun ditangkap dan dinamakan polis sebagai Tetsuya Yamagami.

Polis berkata, penganggur berusia 41 tahun itu mengaku menembak Abe dengan senjata buatan sendiri.

Yamagami memberitahu polis bahawa dia telah berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Diri Maritim juga dikenali sebagai Tentera Laut Jepun selama tiga tahun dari tahun 2002.

Menurut laporan media tempatan, baru-baru ini, Yamagami bekerja di sebuah kilang di barat Jepun selama kira-kira satu setengah tahun, tetapi berhenti pada bulan Mei lalu.

“Sikapnya di tempat kerja tiada masalah. Saya sungguh tidak sangka dan terkejut,” kata bekas pengurusnya di kilang itu kepada akhbar Mainichi Shimbun.

Bekas rakan sekelas sekolah menengah yang ditemu bual oleh penyiar awam NHK berkata, suspek seorang yang pendiam tetapi bukan penyendiri dan pandai dalam sukan serta akademik.

Motif pembunuhan

Suspek menyatakan bahawa dia menyimpan dendam terhadap sebuah organisasi dan percaya bekas Perdana Menteri Abe mempunyai kaitan dengannya, kata polis pada Jumaat.

Mereka tidak memberikan nama organisasi tersebut, tetapi media Jepun mengatakan ia adalah kumpulan agama.

Abe ketika membuat ucapan di Nara pada Jumaat. Dia ditembak sejurus selepas gambar ini diambil. - Foto Kyodo

NHK dan Mainichi Shimbun berkata, keluarga Yamagami mengalami masalah akibat sumbangan kewangan ibunya kepada organisasi tersebut.

Yamagami pada asalnya merancang untuk menyasarkan ketua kumpulan itu tetapi kemudian beralih tumpuan kepada Abe kerana percaya bekas Perdana Menteri itu telah mempromosikan organisasi itu di Jepun, lapor Kyodo News memetik sumber penyiasatan tanpa nama.

Bagaimanakah jenayah itu dilakukan?

Yamagami berkata, dia telah menggunakan pistol buatan sendiri untuk melakukan serangan tersebut.

Polis yang menggeledah rumahnya telah merampas beberapa barangan seperti senjata buatan sendiri.

Dia disyaki membuat sekurang-kurangnya satu senjata beberapa bulan lalu, kata agensi berita Jiji.

Jiji juga melaporkan bahawa Yamagami telah mengambil bahagian dalam latihan menembak secara langsung di Tentera Laut.

Abe dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika berucap dalam satu kempen di bandar Nara pada Jumaat. - Foto Reuters

Pegawai itu berkata, Yamagami mengetahui lawatan Abe ke Nara melalui dalam talian.

Dia dipercayai menaiki kereta api ke stesen di mana bekas Perdana Menteri itu memberi ucapan.

Dalam rakaman kejadian tembakan itu, Yamagami dilihat memakai seluar kargo coklat dan baju kelabu biasa.

Dia memakai pelitup muka berwarna putih dengan sebahagian rambut menutupi cermin mata yang dipakainya.

Ketika ditangkap, Yamagami membawa beg di bahunya dan menarik senjata dari dalam beg tersebut sebelum menjatuhkannya ke tanah. – AFP