Kenali Najiba Noor Delawari, dilantik jadi Ketua Polis Daerah di Afghanistan seawal usia 25 tahun

Kenali Najiba Noor Delawari, dilantik jadi Ketua Polis Daerah di Afghanistan seawal usia 25 tahun

Menanam impian untuk berbakti kepada bangsa, agama dan negara adalah satu cita-cita agung bagi mereka yang berjiwa pemimpin. Antara kerjaya yang mempunyai motif sedemikian tentunya anggota polis.

Namun, ianya bukan mudah jika dalam keluarga sendiri terdapat ‘ahli’ yang ‘sebaliknya’. Begitulah seperti yang dialami oleh Najiba Noor Delawari, Ketua Polis Daerah Sheberghan, Afghanistan di mana ayahnya sendiri merupakan pengikut gerakan Taliban.

Bercerita tentang Najiba, mungkin ramai yang belum tahu akan wanita ‘besi’ di sebalik tudung litup ini. Percaya atau tidak, Najiba dilantik menjadi ketua polis daerah yang ‘mengawasi’ Sheberghan seawal usia 25 tahun? Mari ikuti kisah ini.

 

Dipaksa berhenti sekolah, tekad berhijrah ke Turki nak jadi polis

Gambar: Afghanistan Asia News

Imbas kembali, Najiba dilahirkan dan membesar di sebuah kampung di Qush Tepa dalam wilayah Jawzjan, Afghanistan. Kampung tersebut berada di bawah ‘genggaman’ gerakan militan Taliban ketika itu.

Difahamkan, ayahnya sendiri merupakan salah seorang pengikut atau ‘anggota’ gerakan tersebut. Ketika itu, banyak polisi sosial yang dilaksanakan Taliban agak ‘bercanggah’ dengan norma, salah satunya sekatan pendidikan ke atas wanita.

Ekoran undang-undang tersebut, Najiba tidak terkecuali ‘terlibat’ dalam polisi itu di mana dia terpaksa meninggalkan sekolah dan tidak menyambung pengajiannya setelah tamat gred lima.

Bagaimanapun hasratnya untuk berbakti kepada negara tidak luntur. Dengan semangat dan keazaman untuk menentang gerakan Taliban termasuk ayahnya sendiri, Najiba membuat keputusan untuk menjadi anggota polis.

Gambar: Twitter

 

Dia akhirnya berhijrah ke Turki bagi menjalani latihan ketenteraan selama lima bulan, selain turut mengikuti kursus latihan di negaranya sendiri selama enam bulan untuk memantapkan kemahirannya.

Setelah tamat latihan, Najiba ‘melapor’ diri sebagai anggota polis buat pertama kali. Sepanjang lebih lima tahun berkhidmat, Najiba banyak terlibat dalam tugasan penting seperti menjadi ketua jabatan masalah kekeluargaan serta timbalan ketua polis wilayah bagi urusan keselamatan.

Sehinggalah pada tanggal 1 Mei 2021 baru-baru ini, sesuatu yang sangat mustahil berlaku di bawah fahaman Taliban akhirnya terjadi iaitu Najiba dilantik menjadi ketua polis daerah wanita yang pertama di Afghanistan.

Difahamkan, dia adalah ketua polis daerah yang kelima di Sheberghan, namun apa yang mengagumkan, dia diberi kepercayaan memegang tanggungjawab besar itu pada usia seawal 25 tahun.

Berkhidmat untuk negara, terpaksa ‘lawan’ ayah sendiri

Salah satu penyebab utama kenapa Najiba mahu menjadi anggota polis adalah kerana mahu ‘membimbing’ semula ayahnya yang sudah lama terlibat dalam gerakan Taliban.

Mungkin sebagai anak, melawan ayah sendiri kerana tidak ‘sehaluan’ bukanlah pilihan terbaik, tapi hanya itulah satu-satunya pilihan yang ada untuk dia membetulkan semula keadaan.

Saya cakap dengan ayah saya, kalau ayah masih teruskan nak jadi ahli Taliban, orang akan bencikan ayah. Macam mana pun kalau sebaliknya, kalau ayah nak hidup dengan keluarga dan masyarakat ayah, ayah kena tinggalkan mereka,” katanya dalam satu wawancara.

Selepas setahun Najiba menjadi anggota polis, akhirnya ayahnya terbuka hati untuk meninggalkan Taliban dan menyertai proses ‘pendamaian’. Tidak lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah dari kampung asal di Darzab menuju ke Sheberghan.

Namun perjalanan Najiba tidak mudah. Sepanjang dia menawarkan pendamaian antara pihak polis Afghanistan dengan Taliban, gerakan itu tidak menyenanginya. Malah dia sendiri pernah menerima ancaman dan serangan beberapa kali.

Jelas Najiba, tindakan mereka sekeluarga meninggalkan kampung halaman adalah satu pengorbanan yang besar demi keselamatan dan komitmennya terhadap keselamatan negara.

Gambar: Twitter

Afghanistan perlukan lebih ramai anggota polis wanita

Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri Afghanistan sedang berusaha merekrut lebih ramai lagi wanita ke dalam penguatkuasaan undang-undang dengan menjadi anggota polis di seluruh negara.

Untuk rekod terkini, kerajaan menyasarkan akan meningkatkan jumlah anggota polis wanita dari 4,000 ke 10,000 dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Selain menjaga soal keselamatan wilayah dan negara, anggota-anggota polis wanita ini juga berperanan menangani kes-kes melibatkan hal ehwal wanita.

Kisah pelantikan Najiba sebagai ketua polis daerah wanita pertama pada usia yang sangat muda ini memberikan inspirasi buat kebanyakan rakyat Afghanistan.

Dalam masa sama, keberanian Najiba yang tekad ‘memberontak’ ayahnya sendiri agar meninggalkan gerakan itu turut dipuji serta dikenang sebagai contoh buat wanita lain.