Kementerian nafi ada laporan ‘telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’

Kementerian nafi ada laporan ‘telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tampil menafikan kesahihan gambar berita berkenaan punca kekurangan bekalan telur yang telah disebarkan di media sosial.

Dalam satu hantaran di Facebook, kementerian itu berkongsi tangkap layar imej seolah-olah laporan berita dengan tajuk ‘bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’, beserta gambar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

“Maklumat yang memuat naik di media sosial melalui akaun media sosial bertajuk ‘Bekalan Telur Kurang Kerana Ayam Enggan Bersetubuh’ adalah palsu.

“Untuk makluman, ini merupakan suntingan akaun palsu dan bukan akaun rasmi Astro Awani,” menurut hantaran itu.

Kementerian itu turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan atau palsu.

Hantaran yang dimuat naik pada jam 3.37 petang tadi mengundang perhatian dengan ramai yang menganggapnya sebagai jenaka.

Pada masa sama sejumlah pengguna berharap kerajaan lebih tegas menangani penyebaran berita palsu seumpama itu.

Terdahulu, dilaporkan krisis bekalan telur ayam terus membelenggu apabila ia masih sukar didapati di pasaran di seluruh negara.

Terdapat juga peruncit mengehadkan jualan selain mengenakan harga yang mahal.

Pada 6 Disember lalu, Mohamad berkata kerajaan akan mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan dalam negara.

Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata dia akan bertemu dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan esok bagi membincangkan isu tersebut.