Keluarga tak setuju dengan pilihan Abang Viva, dedah dibuang dari group WhatsApp

Keluarga tak setuju dengan pilihan Abang Viva, dedah dibuang dari group WhatsApp

 

Sukarelawan banjir, Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva tampil menjelaskan dakwaan dia berkahwin tanpa pengetahuan dan restu ahli keluarga yang menjadi bualan ramai sejak petang semalam.

Menerusi satu sesi siaran langsung di Facebook malam tadi, lelaki berusia 30 tahun itu menafikan dia berkahwin secara senyap-senyap namun mengakui ibu bapanya kurang bersetuju dengan calon dipilih.

“Bukan saya tak beritahu (nak kahwin). Saya dah beritahu bapa tiga kali, ibu pula sebanyak lima kali. Cuma mereka tidak bersetuju sangat dengan calon yang salah pilih.
“Mungkin silap saya, saya teruskan juga dengan pilihan saya,” katanya menunjukkan bukti dia menghantar gambar dan video pernikahan kepada ibunya di aplikasi WhatsApp.

Bercerita lanjut, Azwan memaklumkan dia dan isteri Evanoza Zakaria sepakat untuk bernikah lebih awal dari tarikh asal iaitu pada Disember atas sebab-sebab tertentu termasuk mengambil faktor musim banjir.

Azwan berkata, dia terpaksa membuat penjelasan kerana timbul pelbagai salah faham apatah lagi selepas tular satu posting Facebook dibuat oleh seorang wanita dipercayai kakaknya Fauziyah Omar.

“Ada yang bertanya, kenapa tak berbincang dalam grup WhatsApp.. kalau ada yang ingat, saya ada turun ke Baling, Kedah untuk misi banjir sekitar bulan Mei atau Jun.
“Ketika itu, saya telah dikeluarkan dari grup keluarga oleh kakak saya sendiri. Itulah sebabnya saya tak tahu apa jadi antara dalam grup.
“Mak ayah tak datang majlis nikah pula.. sebab saya tahu kesihatan mereka ketika itu tak menentu. Tapi disebabkan tarikh nikah (14 Oktober) tak boleh ditunda lagi, kami teruskan juga,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak boleh berkongsi lebih mengenai konflik yang berlaku sebaliknya memohon orang ramai memberikan dirinya ruang bagi menyelesaikan isu tersebut bersama keluarga.

“Insya-Allah saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik, bagi kami peluang untuk selesaikan salah faham ini secara tenang dan tertutup,” kongsinya menganggap isu itu sebagai ujian selepas berkahwin.

Sebagai penutup, Azwan tidak menafikan bahawa seseorang itu perlu meletakkan ibu bapa sebagai nombor satu tetapi memilih untuk berdiam diri kerana enggan membuka aib mana-mana pihak.

Terdahulu, pasangan itu dinikahkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Ayer Keroh, Melaka dengan dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

Tonton ‘live’ penuh:

Sumber: Facebook Azwan Omar