“Kekasih tak mahu angkat call”, lelaki cuba terjun tingkat 18
Seorang lelaki dilaporkan cuba untuk membunuh diri di bumbung tingkat 18 sebuah apartmen di Taman TTDI, awal pagi tadi.
Memetik laporan Kosmo, lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana gagal menghubungi kekasihnya. Dia juga sempat memaklumkan kepada rakannya di Pulau Pinang berhubung tindakannya itu.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis memetik berkata, lapan anggota bomba termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.30 pagi telah bergegas ke tempat kejadian.
Jelasnya, bomba yang tiba minit kemudian telah melakukan operasi pujukan dan menyelamat, selain memasang tilam angin di bawah apartmen berkenaan.
“Berdasarkan maklumat, lelaki tersebut bertindak sedemikian ekoran gagal menghubungi kekasihnya.
“Dia juga dikatakan baru bercerai dengan isterinya pada November tahun lalu selain pernah juga cuba membunuh diri di Pulau Pinang,” kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis.
Tambahnya, adik dan bekas isteri lelaki itu turut tiba di lokasi kejadian bagi membantu memujuknya dalam operasi selama empat jam itu.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa lelaki tersebut mempunyai masalah tekanan perasaan.
“Dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber: Kosmo