Kedai makan tak laku, wanita minta edit gambar macam kedai viral buat ramai sebak
Seorang wanita yang dikenali sebagai Saliza Ita yang meminta agar gambar gerainya disunting yang sunyi tanpa pelanggan telah mencetuskan sebak dan reaksi netizen di media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Saliza di grup Facebook Edit Apa Hari Ini, kelihatan Saliza sedang berdiri di gerainya yang dipercayai di Felda Jaya di Jempol, Negeri Sembilan meminta jasa orang ramai untuk menjadikan restorannya itu ramai pelanggan.
“Boleh tak suntingkan gambar kedai saya ini biar jadi macam ramai pelanggan. Teringin nak ramai pelanggan macam kedai-kedaimakan lain yang viral itu walaupun hanya dalam angan-angan,” katanya.
Difahamkan juga, dia terpaksa meneruskan perniagaan tersebut walaupun sudah hampir berputus asa kerana hanya itu sahaja satu-satunya punca rezeki bagi menampung kehidupannya.
Apa yang lebih menyayat hati, Saliza mamaklumkan dia hanya memperoleh RM47.00 sehari namun, dia tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah.
“Mudah-mudahan dengan angan-angan ianya menjadi kenyataan. Hampir berputus asa tapi tetap teruskan kerana ini sahaja lah kemahiran yang ada untuk teruskan hidup.
“Pernah satu ahri itu berniaga dari pagi sampai petang RM47.00 sahaja yang dapat. Tetap bersyukur kerana masih ada pelanggan yang sudi menjamu selera di kedai kami,” ujarnya lagi.
Netizen sebak dan tersentuh hati
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan tersentuh hati dengan hasrat serta dugaan yang menimpa Saliza.
Semoga perniagaan lebih maju dan ramai pelanggan dengan kuasa viral!
Malah, mereka turut mendoakan agar dengan kuasa viral ini, perniagaan Saliza akan bertambah maju dan memperoleh lebih ramai lagi pelanggan yang hadir demi mencapai hasratnya itu.
Sumber: Facebook @Edit Apa Hari Ini