Kecoh! Sidang hari ini dipendekkan, staf parlimen positif Covid-19

Sidang Dewan Rakyat yang baru bermula pagi ini – dan sepatutnya berakhir pada jam 5 petang – dicadang agar dipendekkan hingga jam 1 petang saja pada minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan ketika mencadangkan usul itu berkata, ia susulan beberapa kakitangan Dewan Negara didapati positif Covid-19.

Takiyuddin berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dalam tempoh lama.

“Saya rasa perlu yang berhormat dapatkan penjelasan daripada ketua whip yang bersetuju, yang perlu kita ubah sedikit, tempoh persidangan tidak ada persidangan sebelah petang.

“Kami dinasihatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) risikonya amat tinggi, kedudukan kita dalam keadaan tertutup, walaupun ada cermin ini, sejauh mana elakkan penularan (tidak diketahui).

“Tetapi KKM katakan lebih lama kita berada bersama dalam keadaan ini risikonya amat tinggi sekali, atas dasar itu kita cadangkan perkara ini di bawa ke sini tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Menurut Takiyuddin, perkara itu sudah pun dibincangkan wakil parti bersama Noor Hisham dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Dewan Rakyat.

Sumber: Malaysiakini