Kecoh! Pasangan pengantin langgar PKP ditahan polis

Sepasang pengantin berpakaian sedondon yang sedang leka bergambar kenangan di kawasan sungai berhampiran kongsi bilis, Taman Nilam di sini ditahan polis kelmarin.

Selain pasangan tersebut, 17 individu termasuk pengiring pengantin turut ditahan polis pada pukul 6.30 petang susulan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua mereka ditahan sepasukan polis yang kebetulan melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tersebut.

“Secara keseluruhan seramai 19 individu berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan sebelum dibawa ke balai polis.

“Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin itu ditahan kerana ingkar peraturan yang dikuat kuasakan ketika PKP.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kebanyakan mereka menetap di Taman Nilam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shariman, kesemua mereka dibebaskan pada hari yang sama selepas tindakan kompaun dikenakan.

Dalam perkembangan sama, Shariman memberitahu pihaknya meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan susulan orang ramai suka berkumpul di tepi sungai dan padang tersebut.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat menunjukkan kumpulan pasangan tersebut dibawa ke balai menaiki lori polis bersama beberapa individu. – MG