Kecoh!! Ahli parlimen Bersatu didakwa tunjuk jari tengah

Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan beberapa ahli parlimen pembangkang mendakwa bahawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin menunjukkan jari tengah semasa ahli parlimen bersiap sedia untuk pengundian belah bahagi.

Ini selepas ahli parlimen Bersatu itu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai) dan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) membuat hantaran di media sosial berhubung insiden tersebut.

Mereka mendakwa ahli parlimen bekas PKR yang mewakili Puncak Borneo itu menunjukkan jari tengahnya kepada anggota parlimen pembangkang dan menggesa Speaker Azhar Azizan Harun supaya bertindak.

Bagaimanapun, sebaliknya, sesi itu ditangguhkan dan mikrofon mereka pula dimatikan.

Terdahulu, sekumpulan anggota parlimen terdengar berteriak, “Puncak Borneo (Willie) tunjuk jari tengah!” susulan pertikaian hangat semasa ucapannya.

Willie, bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Ingin saya menegaskan bahawa itu adalah tidak benar dan mungkin mereka salah nampak.

“Kalau mereka beranggapan demikian saya sedia minta maaf,” katanya.

 

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bersorak ‘pengkhianat’ yang ditujukan kepada ahli parlimen Puncak Borneo itu.

Beberapa daripada mereka, tidak berpuas hati dengan timbalan menteri yang keluar PKR pada Februari lalu dan menyertai Bersatu.

Willie menyertai kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membentuk kerajan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa selepas bekerjasama dengan Umno, PAS dan GPS serta beberapa parti lain.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553316