Kecewa dengan Mak andam, solekan yang buruk di hari persandingan

Semua wanita ingin kelihatan paling cantik pada hari perkahwinan mereka. Ramai yang biasanya akan menempah perkhidmatan jurusolek profesional atau mak andam untuk menghias mereka pada hari istimewa itu dengan bayaran yang agak tinggi.

Namun seorang wanita ini tidak sangka bahawa makeup artist (MUA) yang diupah untuk membuat solekan bagi hari persandingannya adalah seorang mak andam terjun yang tidak pandai membuat solekan seperti yang diinginkan.

Akibatnya solekan wanita berkenaan pada hari bahagianya itu kelihatan agak pelik dan tidak memuaskan, malah dia juga dipakaikan mahkota yang telah berkarat di kepala.

Dalam luahan hati wanita bernama Yana Nazaruddin itu di Facebook, dia berkata dirinya rasa teraniaya apabila solekan yang dibuat tidak lawa, mahkota yang dipakaikan telah reput dan veil juga telah lusuh warnanya.

Namun apa yang lebih mengecewakan baginya adalah tiada permohonan maaf dibuat oleh mak andam tersebut selepas dia mengadukan hal berkenaan.

Mak andam yang mendakwa mempunyai pengalaman selama 31 tahun itu juga memberitahu wanita tersebut bahawa solekan yang diberikan adalah solekan Melayu dan tidak patut dibandingkan dengan yang lain.

Perkongsian pengantin baru itu meraih tumpuan ramai, rata-ratanya berang dengan tindakan jurusolek tersebut yang bukan sahaja tidak profesional tetapi tiada rasa bersalah merosakkan hari bahagia orang lain.