Kebas kemaluan kerana berbasikal? Jangan sampai mati pucuk..

SEJAK kebelakangan ini, mengayuh basikal sudah menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak kira tua atau muda, masing-masing berlumba-lumba melakukan senaman yang sememangnya bagus baik untuk kesihatan itu.

Bukan itu sahaja, ‘mengembara’ dengan basikal turut dapat melapangkan fikiran jika laluan yang dipilih dikelilingi alam semula jadi yang menyamankan. Itu sebab ada segelintir orang sanggup berbelanja lebih RM35,000 hanya untuk sebuah basikal.

Menurut portal kesihatan popular, Hello Doctor, antara manfaat mengayuh berbasikal adalah seperti berikut:

i. Membantu badan membakar kalori.

ii. Baik untuk sendi.

iii. Meningkatkan kesihatan jantung.

iv. Seseorang boleh tidur lebih nyenyak.

v. Meningkatkan ketahanan mental dan fizikal seseorang.

Di sebalik kelebihan-kelebihan itu semua, terselit kebimbangan yang sememangnya perlu diberi perhatian sewajarnya iaitu masalah kebas.

Hal ini memang tidak perlu dinafikan kerana apabila seseorang mengayuh terlalu lama, biasanya akan menyebabkan kebas pada bahagian celah paha atau kemaluan.

Pasti anda pernah mengalami masalah itu kan apabila duduk terlalu lama semasa berbasikal atau menunggang motosikal? Jika ya, ia mungkin masalah pada tempat duduk basikal itu.

Public Health Malaysia yang memuat naik entri berkenaan hal itu baru-baru ini berkata, jika kita duduk di kerusi biasa, berat kita akan disebarkan pada kedua-dua punggung kita dan kerusi tidak akan menekan pada bahagian tengah punggung. Proses itu dikenali sebagai perineum.

Namun, pada sesetengah basikal atau motosikal, tempat duduknya menirus dan memberikan tekanan pada bahagian perineum.

“Pada bahagian itulah terletaknya saraf dan salur darah berhubung dengan bahagian zakar dan klitoris.

“Kecederaan saraf dan salur darah ini boleh menyebabkan mati pucuk sama ada pada jangka masa pendek mahupun panjang,” kata Public Health Malaysia.

Justeru, bagaimana ingin mencegahnya? Berikut antara enam cara yang boleh dijadikan panduan buat orang ramai:

i. Pastikan basikal sesuai dengan ketinggian dan berat badan.

ii. Pastikan tempat duduk selaras dengan ketinggian.

iii. Elakkan badan ke hadapan semasa berbasikal.

iv. Pilih padding yang lembut.

v. Jangan sesekali menghala tempat duduk ke atas.

vi. Pilih tempat duduk yang lebar.

Oleh itu, buat orang ramai di luar sana, pastikan ketika anda berbasikal, aspek keselamatan sentiasa diutamakan bagi mengelak risiko kecederaan dan berlakunya kemalangan.

Moga perkongsiaan ini bermanfaat kepada anda. Tujuan artikel ini juga bukan untuk membantutkan moral pengayuh basikal tetapi mahu anda semua lebih berhati-hati ya!

Sumber : Sinar Plus