Kasihan, ‘YB Teroyak’ tak dilantik Exco Kerajaan Perak
Teka teki mengenai komposisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak terjawab hari ini selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan, melengkapkan senarai 10 Exco.
Lima ADUN berkenaan juga merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini iaitu Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah), Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (PAS-Selama) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering).
Kesemua ADUN itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam satu istiadat ringkas yang diadakan di Istana Kinta di sini, pada 5 petang ini.
Selain Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.
Pada 10 Dis lalu, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan empat daripadanya adalah Exco sebelum ini iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota). Seorang lagi, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik merupakan muka baharu.
Saarani turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Nazrin pada hari sama.
Barisan Exco Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Dis lalu setelah beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.
Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Dis, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.
DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi terdiri daripada 25 wakil BN yang semuanya UMNO, DAP (16), Amanah (lima), Bersatu (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara negeri Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta memberitahu pemberita Sultan Nazrin berkenaan agar istiadat angkat sumpah baki lima Exco diadakan hari ini memandangkan persidangan DUN akan berlangsung esok dengan pembentangan Belanjawan 2021 negeri Perak.
Tambahnya, istiadat dijalankan dalam keadaan yang ringkas kerana mengambil kira penularan wabak COVID-19 ketika ini.