Kanak-kanak 3 tahun hilang ketika jamuan hari raya ditemukan lemas

Kanak-kanak 3 tahun hilang ketika jamuan hari raya ditemukan lemas

 

 

Mayat kanak-kanak perempuan, Siti Nur Athhiyya Sofea Muhammad Sukri, 3, yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh dari rumah rakit di Sungai Bukit Rangin, di sini ditemui kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat yang melakukan pencarian menggunakan bot.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan hari ini dengan memperluaskan skop pencarian sehingga tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

“Mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh dalam keadaan masih lengkap berbaju,”katanya di sini, hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan kegembiraan sebuah keluarga meraikan majlis jamuan raya Aidilfitri di rumah rakit bertukar tragedi apabila anak mereka berusia tiga tahun hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Bukit Rangin di sini dua hari lalu.

Kehilangan mangsa, Siti Nur Atthiya Sofea Muhammad Sukri,3, disedari keluarganya pada pukul 11.15 malam.