Kami tersingkir disebabkan format melucukan – Gunter

Kami tersingkir disebabkan format melucukan – Gunter
PEMAIN Wales kecewa selepas kalah 0-4 ketika berdepan Denmark. FOTO EPA

Amsterdam: Chris Gunter menganggap format Euro 2020 satu jenaka dan menuduh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyebabkan Wales tersingkir.

Pasukan bimbingan Robert Page tersingkir di pusingan 16 akhir selepas kalah 0-4 kepada Denmark di Amsterdam.

Ia adalah aksi pertama Denmark di luar Copenhagen, manakala Wales sudah melalui perjalanan sejauh 8,539 kilometer (km) selepas beraksi di peringkat kumpulan di Baku dan Rom.

“Tersingkir sebelum pulang semula ke negara sejauh 4,828 km. Semua pasukan mempunyai penyokong ke mana mereka pergi, selain 350 penyokong kami yang melanggar peraturan kerajaan dan menggunakan duit poket sendiri.

“Anda dan kita semua sebenarnya layak untuk mendapat yang lebih baik selain jenaka yang wujud dalam kejohanan ini, siapa kata kehidupan ini sangat adil,” kata Gunter yang juga pemegang rekod pemain paling kerap mewakili Wales.

Selepas mendapat sokongan dari penyokong yang bilangannya agak kecil di Baku dan Rom disebabkan peraturan Covid-19, Wales selepas itu diberitahu kerajaan Belanda bahawa penyokong mereka tidak dibenarkan memasuki negara berkenaan.

Bagaimanapun, penyokong Denmark dibenarkan memasuki negara berkenaan dan hanya sebilangan kecil saja penyokong Wales berjaya menyaksikan perlawanan di Arena Johan Cruyff.